16/05/2006.
Petang Jumaat 28/04/2006, selepas habis waktu kerja, saya menjemput nenek saudara saya, Nenek Noriah, di Stesyen LRT KLCC, yang sedang menunggu di depan Restoran Burger King bersama Cik Ali dan isterinya Cik Mala. Kemudian saya membawa dia naik tren LRT ke KL Sentral. Dari KL Sentral, saya membawa dia naik tren ERL ke Salak Tinggi. Di Salak Tinggi, Isteri saya sedang menunggu di dalam kereta. Saya mengambil alih tempat Isteri saya sebagai pemandu. Saya melihat semua barang keperluan dan hadiah kahwin adik saya, Idah, telah siap disusun di dalam kereta. Nenek Noriah duduk di belakang, manakala Isteri saya duduk di sebelah.
Saya memandu kereta dari Stesyen ERL Salak Tinggi menuju ke Batu Pahat. Kami keluar dari Plaza Tol Nilai. Di tengah perjalanan, kami berhenti di Kawasan Rehat Ayer Keroh untuk solat jama’ qasar Maghrib-Isyak. Disebabkan terlalu lapar, saya menikmati bihun goreng yang dimasak oleh Isteri saya pada tengah hari tadi dengan penuh selera. Selesai makan bersama, kami meneruskan perjalanan ke selatan. Kami keluar dari lebuh raya di Plaza Tol Pagoh. Keluar Pagoh, kami singgah Kg Parit Tegak sebentar untuk meninggalkan bunga telur persiapan perkahwinan adik Isteri saya yang kami panggil Inab. Malam itu kami tiba Taman Soga +/- pukul 1.30 pagi. 4 buah khemah telah dipasang, manakala sebahagian kerusi meja telah tiba. Khemah itu lengkap dengan lampu dan kipas angin. Di rumah cuma ada Abah, Emak, Idah dan Adik. Angah dan Uda belum balik lagi. Pelamin perkahwinan Idah dah siap dibina di ruang tamu. Idah pula sedang menginaikan kuku tangan dan kaki. Pukul 2 pagi saya terus tidur tanpa tangguh sebab esok pagi ada banyak kerja nak dibuat.
Pagi Sabtu 29/04/2006, saya membawa Abah dan Emak pergi ke Pasar Batu Pahat untuk berbelanja membeli bahan-bahan masakan untuk kenduri doa selamat pada sebelah malam. Malam itu Ita akan dinikahkan dengan pemuda pilihan hatinya, Mus, asal dari Muar, Johor. Makan kenduri akan dibuat di rumah setelah selesai majlis nikah di Surau Taman Soga yang akan dilangsungkan selepas solat Isyak. Di pasar, kami bertembung dengan 2 orang bekas pegawai Abah yang kini sedang pencen seperti Abah. Mereka kagum dengan Abah kerana walaupun Abah hanya berjawatan Buruh di Majlis Daerah, Abah mampu mendidik anak-anaknya menjadi insan yang baik-baik.
Sebelum tengah hari, saya membawa Abah dan Pak Hamid, jiran depan rumah kami yang Abah lantik sebagai Tukang Masak untuk majlis Idah – ke pasar untuk membeli bahan-bahan masak walimatul urus yang akan dilangsungkan pada esok hari. Bila kami pulang sebelum waktu Zuhur, saya melihat semua kerusi, meja dan set katering yang ditempah dengan Haji Mualif telah tiba dan disusun kemas di bawah khemah. Set katering diurus oleh Pak Hamid, manakala kerusi meja untuk tetamu dan makan damai diatur oleh Haji Mualif. Lepas solat Zuhur saya terlelap kerana berasa letih menolong Abah, Emak dan Pak Hamid mengangkat barang-barang belian di pasar pada sebelah pagi.
Sebelah petang, bila saya terjaga, saya dapati semua adik-beradik dan adik ipar saya telah tiba. Angah dan Isterinya, Olin, tiba dari KL. Uda pula tiba dari JB. Saya, Angah dan Uda, menolong Abah mengatur majlis perkahwinan Idah – kami memasang spotlight untuk pelamin, pendawaian lampu untuk khemah, memperkemas susunan kerusi dan meja, menempah air batu dan air R.O., menyediakan tempat untuk orang membancuh air minuman dan mencuci bekas makan minum, sekali-sekala menjengah ke tempat orang memasak nasi minyak dan lauk-pauk di halaman rumah Mak Pun, jiran rumah hujung blok teres kami, bertanya kalau ada yang kurang. Orang perempuan pula sibuk di dapur. Emak dibantu oleh Isteri saya, Olin, Adik dan Cik Rokiah, adik bongsu Emak. Idah pula sedang disiapkan oleh Tukang Andamnya. Adik-adik Abah – Cik Onah dan keluarga (suaminya Cik Jaafar dan anak-anak mereka, Jun, Eton), Cik Jo dan keluarga (isterinya Cik Jah dan anak mereka, Ika), Mak Lang dan keluarga (suaminya Cik Rahim dan anak-anak mereka, Aji, Ayen, Iwan) dan Cik Mariah dan keluarga (suaminya Cik Atan dan anak-anak mereka – saya tak ingat nama-nama mereka), datang untuk membantu persiapan kenduri selepas nikah.
Saya menelefon Mus untuk mengetahui pelan perjalanan rombongan mereka dari Muar sebab Idak tak ada masa nak telefon. Saya juga berpesan, selepas lafaz ijabkabul, bangun buat solat sunat Nikah dan sujud syukur selepas itu. Saya juga berpesan agar dia menyediakan duit upah Jurunikah dan saksi-saksi. Selepas solat Asar, saya dan Abah berjumpa Ustaz Miskun, Imam Surau Taman Soga, dan kami menyatakan hajat agar dia boleh membacakan doa selamat selepas solat Maghrib nanti supaya majlis pernikahan Idah malam nanti berjalan lancar dan supaya bayi yang dikandung oleh Isteri saya dan Isteri Angah selamat dilahirkan bersama ibu-ibu mereka.
Waktu Maghrib, saya dan Abah solat berjemaah di surau bersama orang-orang Taman Soga. Selesai solat, Ustaz Miskun menyatakan hajat keluarga kami, memimpin bacaan Surah Al-Fatihah dan memanjatkan doa selamat kepada Allah. Abah balik rumah untuk memantau persediaan makan kenduri lepas nikah. Saya tunggu di surau sambil berbual-bual dengan beberapa orang yang ditua-tuakan oleh orang-orang Taman Soga. Mus telefon handphone saya memberitahu rombongan mereka seramai 3 buah kereta 15 orang dari Muar dah tiba di Surau Taman Soga. Kami yang ada di surau turun meyambut mereka dan menggesa mereka agar masuk ke dalam surau. Saya terus balik rumah untuk mengambil baju nikah Mus yang disiapkan oleh Idah dan kembali ke surau.
Selepas solat Isyak, semua ahli keluarga saya dan beberapa orang ibu saudara, bapa saudara dan sepupu-sepupu saya berkumpul di surau. Jurunikah ialah Imam Shahrul, imam muda Masjid Jamek Dato’ Bentara Luar, yang selalu disebut-sebut oleh rakan-rakan sebaya saya di Batu Pahat sebagai imam masjid jamek paling muda di daerah ini, lebih kurang baya-baya usia kami. Mus, sebagai pengantin lelaki, Idah sebagai pengantin perempuan dan Bapa saya sebagai Wali hadir di dalam majlis. Setiap pengantin disokong persaksian status bujang mereka oleh 2 orang saksi lelaki – Mus oleh bapa saudara dan sepupunya, Idah oleh Cik Rahim, bapa saudara kami, dan Pak Syukur, jiran sebelah rumah kami. Saksi aqad ialah Pak Bakar dan adik ipar Pak Syukur, kedua-duanya jiran kami yang rajin berjemaah di surau.
Bila semua syarat nikah telah cukup, barulah Imam Shahrul memulakan majlis aqad untuk melaksanakan syarat nikah terakhir iaitu ijab dan qabul. Beliau bermula dengan khutbah nikah, diikuti dengan pertanyaan kepada pengantin perempuan persetujuan untuk dinikahkan dengan rela hati, meminta izin Abah untuk mewakilkan kuasa Wali menikahkan pasangan pengantin, melaksanakan ijab dan qabul (Mus menerima qabul dengan sekali lafaz dengan terang dan jelas), pengantin lelaki membaca lafaz sakinah ikrar nikah bertanggungjawab terhadap isteri dan ta’alik talaq, pengantin perempuan membaca lafaz sakinah ikrar nikah setia dan taat kepada suami, Abah membaca lafaz sakinah menyerahkan tanggungjawab menjaga diri peribadi Idah kepada Mus, Mus menyarungkan cincin nikah ke jari Idah, dan diakhiri dengan doa selamat yang dibaca oleh Imam Shahrul serta selawat marhaban sebelum bersurai. Selepas bersalaman dengan semua hadirin, Mus ingin mendirikan solat sunat Nikah tetapi ditegur oleh Imam Shahrul kerana wudhuknya telah batal semasa menyarungkan cicin nikah dan bersalaman batal air sembahyang dengan Idah. Oleh kerana semua orang ingin pulang, Mus menangguhkan solat sunat Nikah dan kami semua pergi ke rumah Abah untuk makan kenduri.
Di rumah, saya melihat makanan telah siap dihidang oleh tim penanggah. Hadirin di surau berserta Imam Shahrul dipelawa menikmati jamuan yang dihidangkan. Adik-beradik Abah dan adik-adik ipar Abah yang dekat-dekat telah datang meramaikan majlis. Rombongan pengantin lelaki terus masuk ke rumah untuk menghantar dulang hantaran sebanyak 13 dulang. Kami membalas dengan 15 dulang. Majlis serah terima barang-barang hantaran kahwin berlangsung dengan ringkas dan selamat. Kami terus mempelawa semua ahli rombongan lelaki menikmati jamuan makan malam di khemah. Mus pula, setelah makan sedikit, digesa oleh saya agar masuk ke bilik pengantin untuk sesi bergambar dengan isterinya buat kenang-kenangan. Jurufoto majlis ialah Cik Fauzan, sepupu Abah, yang juga menjadi jurofoto semasa majlis perkahwinan saya dan Angah dulu.
Tidak berapa lama kemudian, rombongan lelaki bermohon diri untuk pulang. Mus turut balik bersama rombongan. Saya berpesan dengan Mus, sebelum tidur buat solat sunat Nikah dan sujud syukur. Idah disiapkan oleh Tukang Andam untuk sesi bergambar di bilik pengantin dan atas pelamin. Tukang Andam ialah dua pupu saya, anak kepada sepupu Abah daripada nenek saudara isteri kepada arwah Atuk Kartubi, abang arwah datuk saya. Tak tahan mata saya nak bersengkang tunggu Idah habis bergambar, nak rasa kek coklat yang dihantar oleh pihak lelaki. Bila semua orang beransur pulang, saya menyusun dulang-dulang hantaran ke tepi dinding, terus baring dan lelap serta-merta.
Keesokan pagi, 30/04/2006, semasa sarapan, Nenek Noriah menegur saya kerana bila tidur, saya mengorok terlalu kuat. Saya senyum saja tak ambil hati sebab bukan saya sedar pun yang saya kuat berdengkur masa tidur, lebih-lebih lagi selepas penat bekerja. Siang itu majlis khatam Al-Quran dilangsungkan. Kawan-kawan Emak terdiri daripada jiran-jiran dan orang-orang PERKIM ramai yang datang. Uda bawa Mak Onah membeli bahan-bahan masakan untuk makan damai petang nanti. Angah menyelaras persiapan akhir dan sekali-sekala mengarah itu ini kepada budak-budak rewang yang datang menolong cuci pinggan dan bancuh air. Saya pula sekali-sekala ulang-alik ke kedai dan pasar bila barang-barang keperluan kenduri dan makan damai dilaporkan habis oleh orang-orang rewang. Menjelang tengah hari, nasi minyak dan lauk-pauk telah siap dimasak. Orang-orang rewang makan dulu. Tak lama kemudian, majlis khatam usai dan orang-orang perempuan yang hadir majlis khatam dipelawa makan. Bila tengah hari, semakin ramai orang datang, Abah dan Emak tak putus-putus melayan orang. Saudara-mara dekat dan jauh yang saya kenal dan yang saya tak kenal pun datang. Adik-beradik Abah semua datang bersama keluarga masing-masing. Adik-beradik Emak pun datang juga. Orang-orang dari Parit Tegak (keluarga Isteri saya) dan dari Pahang (keluarga Isteri Angah) datang dengan 3, 4 kereta. Ada juga orang yang tersalah datang ke majlis kami. Sebenarnya mereka nak datang ke majlis yang lain. Hari itu saja, di Taman Soga, ada 4 majlis walimah termasuk majlis kami yang berlangsung serentak.
Lewat tengah hari, Mus telefon beritahu bahawa rombongan dari Muar telah tiba Taman Soga dan bersanggar di rumah Mak Minah, kawan Emak, yang juga jiran kami satu taman di Jalan Cucur. Rupa-rupanya Mak Minah juga bersaudara dengan keluarga Mus. Pasukan kompang yang terdiri daripada anak-anak remaja budak-budak sekolah dari Taman Murni telah tiba dan bersiap-siap menyambut pengantin lelaki. Angah bawa Tukang Andam ke rumah sanggar Mus untuk menyiapkan Mus setelah Idah disiapkan oleh Tukang Andam. Pukul 3 petang, Angah bawa Mus, Pengapit dan Tukang Andam ke Jalan Bertam. Sebaik sahaja pengantin lelaki turun, kompang terus dipalu mengiring pengantin lelaki ke arah rumah kami.
Saya perhati dari jauh kerana kebetulan datuk saudara saya tiba dan mempelawanya ke khemah jemputan untuk makan. Saya melihat Mus ditahan di luar khemah kerana ada 2, 3 orang sepupu-sepupu saya hendak mempersembahkan silat pulut. Saya tak terkejut dengan persembahan silat itu kerana orang-orang yang sama jugalah yang buat silat pulut masa perkahwinan saya dan Angah dulu. Selesai acara bersilat, barulah Mus dibawa masuk ke dalam. Apa yang berlaku di dalam rumah di atas pelamin semasa acara persandingan, saya tak tahu apa-apa kerana saya sibuk melayan makan minum adik-beradik datuk dan nenek, serta sepupu-sepupu Abah dan Emak yang datang, serta ahli-ahli pasukan kompang. Selesai acara bersanding, kedua-dua pengantin dibawa ke meja makan damai. Rombongan pengiring pengantin lelaki diberikan tempat duduk khas. Kedua-dua pengantin saling menyuap makanan ke mulut pasangan. Selesai makan, mereka memotong kek kahwin dan mengagih-agihkan kepada tetamu-tetamu yang hadir. Makan damai tidak lama kerana kira-kira pukul 4 petang, rombongan pengantin lelaki bermohon diri pulang. Pengantin lelaki ditinggalkan di Taman Soga. Kami sekeluarga, Abah, Emak, saya, Istri, Angah, Olin, Uda dan Adik sempat bergambar kenangan di atas pelamin bersama pasangan pengantin.
Menjelang pukul 5 petang, majlis perkahwinan pun selesai. Adik-beradik Abah yang belum hendak balik mengerahkan anak-anak mereka menolong kami mengemaskan khemah dan kerusi meja. Kami menghargai pertolongan mereka. Pukul 6 petang, kerusi meja siap dikemas, pinggan gelas siap dicuci, orang-orang rewang telah diberikan bontrot sebelum balik, cuma periuk kawah nasi dan lauk yang belum bercuci. Angah dan Mus bertungkus-lumus mencuci periuk-periuk besar. Saya dan Uda, mengemas kerusi meja, menyapu sampah dan sisa makanan di atas permukaan jalan dan menyusun pinggan gelas yang siap dibasuh. Idah, Adik, Isteri saya dan Olin menolong Emak mengemas dalam rumah, terutamanya bahagian dapur. Abah berjumpa Haji Mualif pembekal khemah dan set katering membincangkan upah sewa yang patut dibayar.
Setengah jam sebelum Maghrib, Cik Ali telefon minta tolong hantarkan Nenek Noriah dari Kg Parit Besar ke rumah Cik Jo di Peserai. Saya dan Isteri menghantar Nenek Noriah ke rumah Cik Jo kerana Cik Ali menunggu di sana. Dari situ, Cik Ali akan bawa Nenek Noriah ke Melaka dan menambangkan nenek terus ke Sungai Petani. Selesai hantar Nenek, kami pulang ke Taman Soga dan mendapati, seluruh ahli keluarga kami, Abah, Emak, Angah, Olin, Idah, Mus, Uda dan Adik baru selesai makan malam. Saya dan Isteri turut makan menikmati 1, 2 hidangan makan damai yang sengaja Mak Onah tak hidangkan di khemah petang tadi. Idah dan Mus menemankan kami makan. Saya sempat rasa sepotong kek kahwin Idah. Selesai berkemas selepas makan malam, Idah dan Mus membawa turun hadiah kahwin dan membuka satu demi satu bungkusan hadiah. Abah dan Emak memerhati dengan senang hati melihat kegembiraan Idah dan Mus membuka hadiah-hadiah perkahwinan. Kami adik-beradik juga senang hati melihat Idah dan Mus rasa bahagia.
Malam itu, setelah selesai kerja kami di Taman Soga, saya dan Isteri bermohon diri untuk tidur di rumah orang tua di Kg Parit Tegak pula. Lepas solat berjemaah jama’ takhir Isyak-Maghrib, saya terus baring dan terlelap.
Pagi 01/05/2006, saya bangkit penuh rasa segar setelah puas tidur semalaman. Dingin suasana kampung agak kuat menggigit tulang, namun saya gagahkan juga untuk mandi supaya sisa kantuk luput. Emak Mertua masak nasi lemak untuk sarapan. Biras saya, Jailani, suami kepada O’ah, adik Isteri saya, belikan roti canai. O’ah sekeluarga, termasuk anak tunggal mereka, Kihah, tiba di kampung sejak petang semalam. Kami satu keuarga, Abah Mertua, Emak Mertua, Jailani sekeluarga, adik-beradik lelaki Isteri saya – Ajib, Ijul, Iwan, Udin, anak-anak Kak Long, makan sarapan bersama-sama. Riuh sungguh bila makan beramai-ramai begitu. Pukul 9 pagi Ijul minta diri dengan semua orang sebab nak pulang ke Politeknik Muadzam Shah dengan menunggang motorsikalnya. Pukul 10 pagi kami pula minta diri dengan semua orang sebab nak ikut rombongan pengantin perempuan menghantar kedua-dua pengantin ke rumah pengantin lelaki di Muar untuk majlis terima menantu pula di sana. Jiran-jiran kawan-kawan Emak berkumpul di rumah kami. Keluarga Pak Lang pun dah tiba. Pukul 12 tengah hari bas tiba dan mereka yang tiada kenderaan sendiri naik bas yang Abah dah sewakan.
Pak Lang sekeluarga, Mak Utih dan anaknya Juli, Masitah anak Pak Lang dan suaminya, Angah dan Olin, saya dan Isteri – naik kenderaan sendiri. Emak, Uda, Adik – naik bas. Mus dan Idah bersama Tukang Andam naik satu kereta. Abah tak ikut sebab nak uruskan bayar sewa dan upah kepada pembekal-pembekal peralatan dan perkhidmatan majlis perkahwinan Idah. Angah memimpin rombongan sebab Mus yang bawa keretanya sendiri perlu tiba awal di rumahnya sebelum yang lain tiba. Perjalanan dari Batu Pahat ke Muar amat lancar. Pukul 1 tengah hari kami semua tiba di rumah pengantin di Jalan Abdul Rahman, Muar. Semua ahli rombongan kami bersanggar di rumah jiran sebelah rumah orang tua Mus. Bapak Mus dah meninggal dunia. Yang tinggal ialah Emak Mus. Wakil keluarga Mus ialah abang iparnya. Mus dan Idah disolek di rumah sanggar. Saya melihat Cik Hud sekeluarga, Cik Mahat sekeluarga, Cik Onah sekeluarga tiba rumah bersanggar sebaik sahaja kami tiba.
Pukul 2, pasukan kompang tiba dan kedua-dua pengantin selesai disiapkan oleh Tukang Andam. Rombongan kami terus berarak mengiring kedua-dua pengantin berjalan perlahan-lahan ke rumah orang tua Mus. Semua orang perempuan mengiring pengantin masuk ke dalam rumah. Kedua-dua pengantin didudukkan di atas pelamin. Ahli-ahli keluarga perempuan menepung tawar, termasuklah Emak dan Emak Mus. Kemudian, Mus dan Idah menabur duit syiling dan gula-gula. Kanak-kanak amat riang menyambut dan mengutip gula-gula dan syiling yang ditabur oleh pengantin. Selesai bertepung tawar, saya memanggil semua adik-beradik – Angah, Uda, masuk ke dalam untuk sesi bergambar satu keluarga. Emak, Isteri saya, Olin dan Adik dah bersedia untuk bergambar dengan pengantin di atas pelamin. Selesai sesi bergambar, kami semua tetamu ahli rombongan diminta ke khemah untuk makan nasi minyak dan upacara makan damai. Semasa sedang mencari tempat duduk, saya melihat Mak Utih yang duduk di sebelah Emak saya di meja pengantin melambai-lambai saya. Saya terus menarik Isteri saya duduk makan semeja dengan pengantin dan Emak. Ibu-ibu saudara yang lain, Mak Lang, Cik Noi isteri Cik Hud, duduk di sebelah Idah. Emak, Mak Utih, saya dan Isteri duduk di sebelah Mus. Cik Fauzan Tukang Gambar sibuk mengambil gambar-gambar aksi pengantin makan damai dan memotong kek perkahwinan.
Pukul 3.30 petang, makan damai selesai. Bas rombongan tiba tepat pukul 4. Semua rombongan yang naik bas beransur pulang. Sebelum usai dari majlis, saya dan Isteri bertemu dan bersalam dengan Emak, Angah, Olin, Uda, Adik, Idah, Mus, dan abang ipar Mus selaku ketua majlis. Saya berpesan dengan Mus agar bila buat sembahyang fardu di rumah, biasakan berjemaah dengan isteri. Pukul 4 petang, saya dan Isteri meninggalkan majlis di Jalan Abdul Rahman. Saya memandu kereta menghala ke Tanjung Emas. Isteri saya turut teruja untuk ke Tanjung Emas kerana tempat itu pernah kami kunjungi secara asing-asing semasa kami berdua bersekolah di SMS Muar dulu. Saya kata asing-asing kerana semasa di SMS Muar saya dan isteri saling tidak mengenali di antara satu sama lain, kami mungkin pernah tersua di mana-mana, tetapi kami ditaqdirkan tidak pernah tahu bahawa kami pernah berada di tempat yang sama, serta di dalam dimensi masa yang serupa. Saya sempat menunjukkan model kereta api wap pertama yang pernah membelah perut hutan dan kawasan perkampungan Muar dari Stesyen Bentayan ke Stesyen Parit Jawa di Tanjung Emas.
Bila keluar dari Tanjung Emas yang penuh kenangan semasa zaman persekolahan dulu, saya lalu di Jalan Ibrahim dan melihat rumah Syed Farouk, kawan karib saya semasa di SMS Muar dulu, masih utuh. Di situlah saya dan kawan-kawan lain pernah menghabiskan masa cuti kami sebelum kami melanjutkan pelajaran di dalam bidang-bidang yang kami pilih. Saya terkenang kebaikan budi Ibu dan Bapa Syed Farouk yang senang melayan kami di rumah mereka. Saya tak jadi singgah rumah Syed Farouk untuk menjenguk keadaan penghuninya kerana pintu pagar berkunci, tanda tiada orang di rumah. Syed Farouk kini berada di Brisbane, Australia, berkhidmat sebagai seorang doktor perubatan di sana. Saya terus memandu ke arah Parit Sakai kerana hendak melawat Nenek Isteri saya di rumah Mak Ngah Isteri saya. Selesai solat jama’ takhir Zuhur-Asar, kami meninggalkan Muar melalui Jambatan Kedua Sungai Muar, menghala ke Tangkak dan masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan melalui Plaza Tol Tangkak. Kami terperangkap di dalam kesesakan lebuh raya sebaik sahaja menghampiri susur keluar Pedas/Linggi. Saya mencekalkan hati untuk melayan kesesakan, berhenti rehat untuk lelap sebentar di Kawasan Rehat dan Rawat Seremban, sambung perjalanan dan keluar lebuh raya di Plaza Tol Nilai, berhenti lagi di Masjid Putra Nilai mendirikan jama’ takhir Maghrib-Isyak, dan tiba rumah kira-kira pukul 10.30 malam.
Sebelum tidur, saya dan Isteri berkemas lebih kurang membuat persediaan untuk naik kerja awal pagi esok. Barang-barang dari kampung yang saya keluarkan dari kereta, kami susun di ruang tengah untuk dikemas kemudian sedikit demi sedikit. Malam itu kami tidur pulas keletihan.
Untuk Idah dan Mus, berkahwin mendirikan rumahtangga ialah suatu pekerjaan yang mulia. Jalan kebahagiaan di alam rumahtangga itu amat panjang, berliku-liku, berlubang-lubang, ada banyak gaung, namun ada banyak taman tempat bersantai dan masanya pula relatif singkat, berbanding bila kita mendapat kebahagiaan sesudah mati. Jangan gaduh-gaduh. Along doakan agar rumahtangga kalian aman bahagia sehingga ke akhir hayat.
Hidup Mulia, Mati Mulia.
Tiada sekian.