...rentetan dari Ujong Madini...



Wednesday, February 22, 2006
Outstation 1

22/02/2006.

Hujung minggu yang lalu (17 dan 18/02/2006) adalah pengalaman pertama saya diarahkan outstation dengan Superintendan saya ke Kemaman Supply Base (KSB) bersama Pengurus IT dari HQ kami di Singapura untuk memeriksa kemudahan sistem komunikasi sebuah kapal yang syarikat kami uruskan, MV Bayu Intan (BYI). Kami juga telah membuat temujanji dengan seorang Surveyor dari Lloyd’s Register untuk mengaudit International Ship Security Certificate (ISSC) yang mati pada 18/02/2006.

 

2 hari sebelum itu, 3 kru kapal yang akan sign on telah kami arah untuk mobilize ke Kemaman dari kampung masing-masing setelah mendapat kepastian daripada Charterer bahawa BYI mesti kembali ke KSB untuk ambil kargo yang diperlukan pelantar minyak di perairan sempadan Malaysia/Thailand dan kembali ke lokasi operasi serta-merta. Jadi, kepulangan singkat BYI itu kami gunakan untuk,

 

  1. Membuat pertukaran kru – Chief Engineer, Oiler dan Cook.
  2. Membuat audit ISSC untuk mendapatkan lanjutan sah ISSC supaya kapal boleh dibenarkan belayar oleh Jabatan Laut Malaysia.
  3. Melupus bahan sisa kapal di darat yang terkumpul +/- 3 minggu
  4. Menghantar bekalan makanan kapal yang cukup untuk setengah bulan yang akan datang

 

BYI juga akan menerima kargo penting yang penghantarannya dari suatu lokasi di darat ke KSB telah diatur oleh Charterer untuk dihantar ke platform minyak di lokasi operasi.

 

Tidak perlu saya beri butiran terperinci pengalaman outstation di KSB kerana mungkin ada di antara anda pembaca blog ini yang turut tercebur di dalam bentuk operasi perniagaan yang majikan saya ceburi. Malah anda turut faham kerja-kerja pengurusan perkapalan pesisir pantai (offshore shipping management) yang sebahagian kecilnya telah saya sebutkan di atas.

 

Namun bagi anda yang tidak terlibat secara langsung dengan bentuk pekerjaan atau perniagaan di atas, saya akan kongsikan serba sedikit pengalaman-pengalaman yang telah saya raih semenjak 5 bulan lalu bertugas sebagai Pembantu Operasi di syarikat majikan sekarang, secara langsung atau tidak langsung.

 

Hidup Mulia, Mati Mulia.

 

Tiada sekian.

 

 


Posted at 05:25 pm by mohdhamin1973
Comment (1)  

Tuesday, November 29, 2005
Mencari Akar Keturunan Menunjang Zuriat Keluarga

29/11/2005.

Sungguh lama saya menyepikan diri. Sepanjang hampir 2 bulan yang lalu saya tenggelam dalam urusan kehidupan seharian - keluarga, kerjaya, muhasabah diri, berusaha memperbaiki amal bakti.

Saya telah berada dekat dengan keluarga. Ini memungkinkan saya hadir di dalam setiap peristiwa keluarga yang memerlukan jasa bakti saya, contohnya - bapa sakit jantung dimasukkan ke hospital, menemankan adik di dalam majlis konvokesyen kolej, kenduri arwah datuk dan nenek yang dianjurkan di kampung asal bapa di Kg Parit Besar Batu 2 Jalan Kluang Batu Pahat, kenduri arwah ibu saudara Mak Uda yang meninggal baru-baru ini di Teluk Kemang Port Dickson, perkahwinan adik di Bandar Jengka 4 Pahang dan di Taman Soga Batu Pahat, perhimpunan keluarga keturunan Ahmad bin Abdul Samad salah seorang pengasas Kg Parit Pinang Seribu Muar, memasang nisan pusara nenek dan tentatif-tentatif kegiatan kekeluargaan lain yang akan dilaksanakan sedikit masa lagi.

Komitmen kekeluargaan yang paling besar ialah saya telah ditugaskan dan menerima tugasan itu dengan senang hati, suatu usaha ikhtiar untuk membuat carta salasilah keluarga keturunan Ahmad bin Abdul Samad, salah seorang pengasas Kg Parit Pinang Seribu Muar. Sudah 5 kali perhimpunan tahunan keluarga kami itu telah dibuat tetapi masih belum nampak dengan jelas carta salasilah keluarga untuk rujukan semua ahli keluarga. Saya menerima tugasan itu kerana saya ada menyimpan cebisan-cebisan salasilah keluarga sebelah ibu saya itu yang saya cari dan siasat dengan cara mengunjungi adik-beradik datuk dan adik-beradik nenek semenjak saya berumur 14 tahun lagi.

Cabaran untuk melengkapkan sebuah carta salasilah keturunan ini ialah carta ini perlu dipersembahkan dengan format yang boleh difahami oleh semua ahli keluarga kami. Saya telah caritinjau di dalam internet perisian-perisian yang sesuai untuk saya masukkan maklumat-maklumat ahli keluarga dan seterusnya mencipta format carta salasilah yang bersesuaian. Saya akan beli perisian itu dalam sedikit masa lagi setelah komputer di rumah saya siap dibaiki. Sekarang ini saya menumpang menggunakan kemudahan komputer pejabat.

Mencari perisian untuk membuat carta salasilah keluarga bukanlah cabaran paling besar. Cabaran yang paling besar ialah untuk mencari, berjumpa dan berkenal-kenalan dengan setiap individu ahli keluarga keturunan Ahmad yang semakin berkembang. Kita kena tahu berapa orang anak setiap datuk dan nenek saudara, kena cari di mana mereka tinggal dan kena berkenal-kenalan dengan mereka supaya anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit mereka tahu bahawa keluarga mereka sebenarnya adalah keluarga yang besar, mempunyai jalinan akar keturunan yang saling berkait dan sekurang-kurangnya mereka kenal siapa datuk-datuk saudara, bapa-bapa saudara, sepupu, dua pupu, tiga pupu, anak-anak saudara, cucu-cucu saudara atau cicit-cicit saudara.

Cabaran mencari ahli keluarga ini pada waktu kini mungkin menjadi ringan kerana kami akan berjumpa setahun sekali pada setiap Hari Raya Aidilfitri Hari Yang Kedua yang dianjurkan secara bergilir-gilir oleh zuriat daripada titisan adik-beradik datuk-datuk dan nenek-nenek saudara kami. Dengan sokongan AJK Perhimpunan Keluarga Hj Ahmad, kemudahan alat komunikasi (telefon & email) dan dilengkapkan dengan perisian komputer yang sesuai, saya percaya kerja yang saya jangka disiapkan 10 tahun, saya boleh siapkan dalam masa 10 bulan.

Kita tak harus hidup bermahkotakan sifat individualistik dengan meminggirkan nilai-nilai murni hidup berkeluarga di dalam lingkungan syariat agama Allah. Malah kita wajib mengenal ahli keluarga kaum kerabat yang terdekat, mengenalpasti liku-liku kehidupan yang sedang dan telah mereka tempuh, mengambil iktibar dan pengajaran daripada pengalaman hidup mereka, dan membantu ahli keluarga yang hidup dalam kedaan daif.

Dengan demikian barulah kita boleh kenal diri kita berasal dari titisan akar keturunan siapa dan kita boleh menunjang kukuh jalinan kekeluargaan sesama ahli-ahli keluarga kita.

Hidup Mulia. Mati Mulia.

Tiada sekian.

Posted at 02:42 pm by mohdhamin1973
Comments (3)  

Thursday, October 06, 2005
Lapor Diri di Bayuemas

06/10/2005.

Syukur, alhamdulillah, saya telah melapor diri untuk memulakan kerja di Bayuemas Maritime Sdn Bhd sebagai Pembantu Operasi padahari Isnin lalu,  03/10/2005. Pejabat tempat kerja baru terletak di Lorong Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur, tak jauh dari KLCC. Pejabat sekarang ini menurut kata Superintendant (Supt) Operasi menyewa di Bangunan Sisma, tempat syarikat kumpulan Sisma mempamer kereta Jaguar untuk dijual.

Skop kerja baru memnag berbeza daripada skop kerja lama. Saya ialah staf pertama yang direkrut untuk membantu Supt Operasi mengurus 2 buah kapal AHTS (anchor handling/tug/supply) yang beroperasi di Semenanjung Malaysia. Mengurus kapal bermakna mengurus operasi dan laluan perjalanan kapal; mengurus perekrutan dan penghantaran pulang pelaut-pelaut dari darat ke laut dan sebaliknya; mengurus aspek-aspek teknikal kapal supaya setiap kelengkapan dan peralatan kapal berfungsi seperti spesifikasi; memastikan cukup kru terlatih, cukup bekalan makanan & cukup PPE yang lengkap dan boleh digunapakai; memastikan kapal mempunyai sijil-sijil yang sah untuk belayar; memastikan kelengkapan komunikasi boleh digunapakai sepanjang masa.

Sama sekali berlainan daripada tugas-tugas yang pernah saya buat sebelum ini, iaitu perkhidmatan maritim dari sisi pengurusan penyelenggaraan kren-kren pelabuhan. Namun, saya menganggap ini semua cabaran untuk saya memahami satu lagi sudut kehidupan perkhidmatan maritim daripada sisi pengurusan kapal dan kru.

Bagaimana dengan mengurus kapal boleh menjadi satu sumber rezeki? Kumpulan syarikat yang disertai oleh Bayuemas membeli dan memiliki kapal-kapal itu. Kapal-kapal itu disewa oleh syarikat-syarikat minyak untuk keperluan menghantar bekalan, kru dan alat-alat ganti ke pelantar-pelantar minyak di perairan Laut China Selatan. Daripada duit sewa kapal itulah yang menjadi sumber rezeki kepada Bayuemas.

Membincangkan struktur organisasi dan peluang niaga syarikat adalah tidak manis di ruang terbuka ini. Ada kerahsiaan yang wajib saya jaga untuk mengekalkan kredibiliti dan keutuhan syarikat. Namun saya tidak akan lokek berkongsi dengan anda pengalaman kehidupan dari sudut dunia pengurusan kapal bekalan.

Hidup Mulia, Mati Mulia.

Tiada sekian.

Posted at 12:19 pm by mohdhamin1973
Make a comment  

Saturday, September 24, 2005
Bintulu Yang Akan Ditinggalkan

24/09/2005

 

Masih ada seminggu lagi untuk saya menghabiskan hari-hari terakhir di Bintulu. 30/09/2005 ialah hari terakhir saya bertugas dengan Dermaga Naluri Sdn Bhd. 01/10/2005 saya akan berlepas pulang ke KLIA dengan AirAsia. 02/10/2005 saya dan isteri akan tinjau laluan dan jadual ERL atau LRT yang menghubungkan Putrajaya dengan KLCC. 03/09/2005 saya akan melapor diri di Bayuemas Maritime Sdn Bhd untuk memulakan tugas baru. Saya meninggalkan jawatan Pengurus di Bintulu untuk bekerja sebagai Eksekutif di Kuala Lumpur. Turun jawatan, tapi saya puas kerana akhirnya dapat dekat dengan isteri dan keluarga.

 

Sepanjang minggu ini jadual kerja agak hectic. Pada 21/09/2005 lalu, gear coupling pada sebelah motor gantry yang ‘cap’nya kami tap weld beberapa hari lalu di atas RTG 01 telah rekah. Akibatnya, motor gantry berpusing tapi gear reducer tak dapat berpusing untuk memusingkan sprocket yang akan menarik gantry chain dan seterusnya memusingkan tayar RTG 01. Bila gantry, struktur badan kren senget sebelah dan keluar dari landasan. Kami nasihatkan Operator agar guna kren RTG lain. Kami sendiri cuba gantry RTG 01 perlahan-lahan, tak boleh juga bawa masuk ke dalam landasan. Namun, kami berjaya membawa masuk ke sebelah dalam Blok ‘F’ Import, blok yang kosong kontena untuk membolehkan kami menyudahkan kerja-kerja baikpulih.

 

Pada sebelah tengah hari, Suhaili Wasli, Penyelia Kren RTG, berbincang dengan saya dan kru penyelenggaraan langkah-langkah kerja terbaik untuk memendekkan masa downtime. Kami periksa motor gantry spare di Gudang TS1 tempat semua komponen alatganti besar-besar untuk kren RTG, quay crane dan mobile harbor crane disimpan. Ada sebuah motor spare minus brake dan gear coupling. Kami turut jumpa 2 set gear coupling – 1 untuk gantry dan 1 untuk hoist. Kami keluarkan motor dan gear coupling untuk fungsi gantry ke Crane Workshop. Pada masa yang sama, kami tanggalkan gantry motor dari RTG 01 dan bawa ke Crane Workshop.

 

Di Crane Workshop, kami bersihkan motor, buang habuk luar dalam, buat merger testreading 500 MegaOhm, normal. Kami cannibalise sistem brek dari motor yang kami tanggalkan dari RTG 01 dan pindahkan ke motor yang kami keluarkan dari gudang. Masalahnya kami tiada oxy-acetylene untuk memanaskan gear coupling bahagian motor. Coupling itu mesti dipanaskan dulu, biar ia mengembang dan shaft coupling boleh masuk ke dalam lubang coupling. Kami pinjam lori Trac Wheel Sdn Bhd, bawa motor dan coupling ke Marine Workshop, minta tolong welder sana heat untuk kami dan kami masukkan coupling itu ke dalam syaf bahagian motor.

 

Selesai sahaja kerja di Marine Workshop, kami bawa terus motor+brake+coupling ke RTG 01. Sebelum pasang, kami check gear coupling sebelah gear reducer. Bila kami buka coupling cap, kami lihat beberapa gigi sebelah dalam ada yang patah dan banyak yang haus. Kami batalkan pemasangan motor+brake+coupling baru. Senja makin lewat. Kami sambung kerja esok. Sebelum pulang saya lapor kerja hari itu kepada Boss di Kuching dan Penyelia RTG. Diputuskan, esok saya akan sewa oxy-acetylene dari Machine Shop dan bawa ke RTG 01 untuk keluarkan coupling yang rosak itu. Bila telefon Machine Shop, mereka minta bayar duit dulu baru boleh kami ambil dan gunapakai. Saya beritau Boss minta masukkan duit dalam akaun saya sebab peruntukan petty cash tak cukup. Petang itu juga Boss ‘bank-in’kan duit. Malam itu juga saya keluarkan duit sewa ‘oxy’.

 

Awal pagi berikutnya, saya guna lori Trac Wheel dan pergi ke Machine Shop. Saya bayar tunai, ambil cash bill dan bawa oxy-acetylene masuk ke dalam Bintulu Port. Kami turunkan dulu di Crane Workshop. Kemudian saya ke Jabatan Safety beli borang ‘Permit To Work’ kerana kerja-kerja yang kami buat pada hari itu melibatkan ‘hot work’ di medan terbuka. Saya terus isi butiran borang, pergi ke Jabatan Operasi minta tandatangan Pengurus Operasi, kemudian ke Jabatan Peralatan Kontena minta tandatangan Jurutera Peralatan Kontena. Kembali semula ke Jabatan Safety. Isi lagi ‘Job Safety Analysis’. Selepas ‘berbalas pantun’ beberapa minit, baru Pegawai Safety keluarkan kelulusan di bawah kod ‘KECEMASAN’ kerana kerja-kerja tersebut mesti disiapkan segera sebelum operasi kontena bertukar menjadi sibuk pada waktu petang.

 

Dalam masa yang sama, semua kru saya dah mulakan kerja. Mereka dah bawa motor dan oxy ke RTG 01. Bila saya tiba di RTG 01, saya dapati mereka berjaya tanggalkan coupling yang rosak dan masukkan coupling baru. Pantas sungguh kerja mereka. Selepas itu baru tiba bahagian kerja yang paling sukar – memasang motor supaya sejajar dengan gear reducer. Jika alignment senget, coupling akan hancur serta-merta bila kren sedang gantry. Menggunakan 2 buah forklift – 1 forklift 3 tan, dan 1 forklift 8 ton, kami akhirnya berjaya memasang, menjajar dan mencantumkan coupling fungsi gantry. Pukul 1 tengah hari, bahagian kerja yang paling sukar itu selesai. Petang kira-kira pukul 2.15, kami sambung dengan kerja-kerja memasang pendawaian dan termination dari sistem elektrikal kren ke motor dan brek. Sebelum tutup cover brek kami uji fungsi gantry. Fungsi gantry kembali kepada keadaan asal, brek berfungsi dengan betul. Kami tutup dan pateri cover brek dan terminal box. Kami teruskan uji fungsi selama kira-kira 30 minit lagi dan berpuas hati tiada fault yang berlaku semasa gantry. Pukul 3.30 petang kerja kami selesai. Awal pagi berikutnya, kami guna lori Trac Wheel sekali lagi untuk pulangkan ‘oxy-acetylene’ yang kami sewa ke Machine Shop.

 

Hati saya puas dapat membantu kru penyelenggaraan saya menyempurnakn kerja-kerja baikpulih dalam masa singkat. Beberapa orang daripada tim saya meminta saya agar jangan berhenti dan bersama-sama mereka meneruskan kerja penyelenggaraan kren di Pelabuhan Bintulu. Saya memberitahu mereka sekali lagi seperti di dalam mesyuarat staf antara saya dan mereka pada 19/09/2005 lalu, bahawa saya terpaksa mengambil keputusan tersebut untuk memudahkan saya menjaga keperluan keluarga saya. Saya mencemburui staf-staf saya kerana setiap kali ada ahli keluarga yang sakit kuat atau ada kematian, mereka boleh minta cuti daripada saya dan saya boleh meluluskan cuti mereka serta-merta untuk membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli keluarga. Saya? Kalau bapa saya sakit kuat atau ada kematian ahli keluarga, bagaimana saya boleh balik Batu Pahat dengan serta-merta? Nenek saya meninggal dunia pun saya tak tahu. Bila balik untuk nikah, baru bapa saya beritau dan tunjukkan kuburnya kepada saya. Tak sempat saya nak bawa isteri saya jumpa nenek saya yang selalu memanjakan saya semasa saya bayi dan kanak-kanak dulu.

 

Itulah dunia. Ada permulaan, ada kesudahan. Kesudahan pula, ada kesudahan yang baik, ada kesudahan yang buruk. Saya memilih kesudahan kisah hidup saya di Bintulu dengan kesudahan yang baik. Sebab itu saya telah merancang dari awal tahun ini, supaya apabila tiba masanya, saya akan meninggalkan kerja saya di Bintulu dalam keadaan tidak kelam-kabut dan bakal pengganti saya boleh melaksanakan kerja-kerja yang pernah saya buat untuk kemajuan syarikat dan kebaikan aset-aset pelanggan yang syarikat jaga.

 

Hidup Mulia, Mati Mulia.

 

Tiada sekian.


Posted at 01:06 pm by mohdhamin1973
Make a comment  

Friday, September 16, 2005
Mengantarabangsakan Diri Sendiri

16/09/2005.

 

Kita hidup di dunia ini bukan sahaja di dalam persekitaran tempatan kita, iaitu tempat kita dilahirkan, membesar, bersekolah, bekerja dan bermasyarakat. Malah kita berkongsi udara, muka bumi dan langit yang sama dengan insan-insan lain yang berlainan negara, berbeza bahasa dan tidak sama identiti bangsa. Kita perlu berhubungan dengan mereka untuk memudahkan urusan penghidupan kita. Kalau kita bekerja, kita perlu mesin-mesin terkini, jentera-jentera termaju dan peralatan kelengkapan canggih – kita tak mampu buat sendiri, sebaliknya kita perlu berhubung dengan mereka yang ada kepakaran merekabentuk, membuat, menguji dan sanggup memberi waranti kerosakan untuk membantu kita mengguna, menyelenggara dan membaikpulih mesin, jentera dan peralatan tersebut. Mereka pula tidak berbahasa dengan bahasa ibunda yang biasa kita tuturkan seharian. Jika kita bertutur dalam bahasa kita, mereka tidak memahami kita. Jika mereka bertutur dalam bahasa mereka, kita tidak boleh memahami mereka. Oleh itu mesti ada satu bahasa perhubungan yang apabila kita menggunakan bahasa itu kita dan mereka sama-sama mengerti apa yang kita hendak capai di dalam sesuatu urusan transaksi yang kita buat.

 

Saya menggunakan Bahasa Inggeris apabila berhubungan dengan teman-teman bangsa Korea, Jepun, Jerman, British, Sepanyol, Arab, Perancis dan Argentina. Mereka tak mengerti apabila saya bercakap dengan mereka di dalam Bahasa Malaysia. Oleh itu kami berbincang dan berbual-bual di dalam Bahasa Inggeris supaya matlamat sesuatu urusan seperti jual beli, minta panduan troubleshoot kerja-kerja teknikal, dan urusan-urusan lain dapat tercapai. Dengan berbahasa Inggeris bila bercakap-cakap dengan teman-teman bangsa asing yang tak faham sepatah pun Bahasa Malaysia, saya tidak mengkhianati Bahasa Malaysia serta menikam bangsa saya sendiri dari belakang. Bahkan saya dapat memperkenalkan kelebihan bahasa dan bangsa saya kepada mereka apabila kami berbincang hal-hal di luar skop kerja kami seperti tempat-tempat menarik di Malaysia yang boleh dilawati, bual-bual pasal sastera dan budaya atau bertukar-tukar pendapat dan pandangan tentang isu-isu semasa yang berlaku di seluruh dunia.

 

Pada mulanya saya tidak fasih berbahasa Inggeris. Saya membesar di dalam lingkungan komuniti pekerja majlis perbandaran kerana bapa saya seorang buruh yang diberi kemudahan mendiami berek pekerja yang disediakan oleh majikan. Penduduk kawasan berek pekerja itu tidak berbahasa Inggeris malah sepatah haram pun tak faham Bahasa Inggeris. Bila masuk sekolah, saya agak fobia belajar Bahasa Inggeris kerana kebanyakan guru-guru Bahasa Inggeris garang-garang serta tak bersikap mesra atau tak bersikap seperti kawan (not friendly).

 

Bila masa semakin berlalu, saya mula berfikir, untuk memudahkan saya menguasai Bahasa Inggeris, saya perlu memahami asas-asas tatabahasa terlebih dahulu. Bila agak cekap menguasai asas-asas tatabahasa, baru saya memberanikan diri dengan sebutan dan fonetik sampai tergeliat lidah saya nak menyebut perbendaharaan kata baru. Kemudian baru saya mengasuh kemahiran mendengar dengan menonton  rancangan berbahasa Inggeris di tv dengan menutup sarikata Bahasa Malaysia di sebelah bawah skrin tv. Dalam masa yang sama, saya mengasuh kemahiran membaca untuk mendapatkan pemahaman penggunaan sesuatu perkataan dan frasa dalam konteks situasi yang sesuai. Sehingga tamat SPM, saya boleh faham Bahasa Inggeris apabila mendengar, boleh bertutur dengan tersangkak-sangkak dengan tatabahasa yang tunggang-langgang, namun, saya masih tak mampu kuasai kemahiran membaca dan menulis.

 

Bila masuk universiti, baru saya ada peluang yang luas untuk mengasuh kemahiran membaca dan menulis di dalam Bahasa Inggeris kerana saya wajib lulus kertas Bahasa Inggeris yang menjadi syarat graduasi, kerana buku-buku rujukan teknilkal dan tesis diterbitkan dalam Bahasa Inggeris, kerana di dalam Palapes TLDM apabila berhubungan dengan anggota-anggota tentera laut negara-negara asing saya perlu berbahasa Inggeris dan kerana saya ingin meningkatkan nilai diri saya agar mahir dengan bahasa asing yang bukan bahasa ibunda saya.

 

Bila masuk alam pekerjaan, saya dapati bahawa saya telah boleh memahami Bahasa Inggeris dari aspek pendengaran dan pembacaan (input) namun saya kurang mahir dalam aspek pertuturan dan penulisan (output). Oleh itu, sungguh pun tidak mahir dari aspek output berbahasa, saya gagahkan diri mengasuh kemahiran bertutur dan menulis sehingga pada tahap sekarang ini, saya tidak kekok atau malu-malu apabila berinteraksi dan berkomunikasi dengan bangsa-bangsa asing.

 

Saya rasa tidak memadai setakat Bahasa Inggeris sahaja. Di Malaysia sendiri, ada Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin. Saya rasa terkilan kerana setelah usia saya masuk 30 tahun, saya masih tidak boleh berinteraksi dengan rakan-rakan bangsa Cina dengan Bahasa Mandarin dan rakan-rakan bangsa India dengan Bahasa Tamil. Bahasa Al-Quran pula ialah Bahasa Arab. Saya turut terkilan kerana masih tidak faham ayat-ayat Al-Quran yang dibaca di dalam sembahyang walaupun saya telah hafaz beberapa ayat dan surah lazim.

 

Antarabangsakanlah diri anda kerana apabila anda mengantarabangsakan diri anda, anda akan dapati memang terbukti kejadian Allah maha menakjubkan. Dijadikan manusia berbilang bangsa, berlain bahasa, berbeza kelaziman budaya, dengan tujuan untuk kita saling kenal mengenal, bukan untuk bermusuh-musuhan. Agar kita insaf bahawa kita adalah insan yang sebenarnya dijadikan dalam keadaan serba tidak berada.

 

Hidup Mulia, Mati Mulia.

 

Tiada sekian.


Posted at 01:28 pm by mohdhamin1973
Make a comment  

Previous Page Next Page


mohdhamin1973
PERIBADI
Nama: Mohd Hamin bin Mastor
Nama Tinta: Mohamas
Pekerjaan: Pembantu Operasi
Status: Berkahwin
Nama Isteri: Norzitah binti Abu Khair
Tarikh Nikah: 19 Ogos 2004

YANG MENARIK HATI

Penulis:
Dalam Malaysia - Arenawati, Abdullah Hussein, Shahnon Ahmad, Shaari Isa, Othman Puteh, Rahmat Haron, Zaharah Nawawi, Ahmad Patria Abdullah, Hiziari Othman, Faisal Tehrani, Nisah Haron.
Luar Malaysia - Pramoedya Ananta Toer, Robert Ludlum, Frederick Forsythe, Tom Clancy, Mario Puzo, Timothy Zahn, JRR Tolkien.

Filem lakonan: Arnold Schwarzenegger, Sylvester Stallone, Jet Li, Steven Seagal, Keanu Reeves, Orlando Bloom, Heath Ledger

Filem:
Hexalogi Star Wars
Hexalogi Once Upon A Time In China
Pentalogi Planets of the Apes
Quadrilogi Alien
Trilogi Lord of the Rings
Trilogi The Matrix
Trilogi Jurassic Park
Trilogi Die Hard
Trilogi Rambo
Trilogi Terminator
Trilogi Predator
Dwilogi Conan
Quadrilogi filem watak Jack Ryan dari novel Tom Clancy (The Hunt for Red October, The Patriot Games, Clear & Present Danger, The Sums of All Fears)
Trilogi filem watak Jason Bourne dari novel Robert Ludlum (The Bourne Identity, The Bourne Supremacy dan akan datang The Bourne Ultimatum)
Filem-filem epik perang seperti Lion of the Desert, Lawrence of Arabia, El Cid, Braveheart, The Last of The Mohicans, The Gods and The Generals, 13th Warrior, The Gladiator, The Patriots, Troy, The Alamo, Kingdom of Heaven
Filem-filem sains fiksyen robotik seperti A.I., The Bicentennial Man, I Robot

Filem Animasi: Ghost in the Shell, Ghost in the Shell: Innocence, Armitage Poly Matrix, Armitage Dual Matrix, Gundress, Appleseed, Akira, Escaflowne, Sin, The Wonderful Days

Siri Animasi: Mazinger, Captain Future, Tosho Daimos, Blue Noah: Thundersub, Transformers berbagai versi - paling best versi Beast Wars, Kamen Riders berbagai versi - paling best versi Kamen Rider Black dan Kamen Rider Black RX

Buku yang ingin dimiliki, dibaca dan dikaji: Rihlah Ibnu Battutah terjemahan Bahasa Malaysia terbitan IKIM

Rujukan Pedoman Hidup: Al-Quran Al-Karim dan Kitab Hadis Sahih Bukhari-Muslim


<< November 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30

RENTETAN DARI UJONG MADINI
Ini ialah weblog yang mengongsikan pengalaman dan mengutarakan pandangan hidup seorang saya setelah 3 dekad menjadi insan alam dunia.
Antologi Cerpen yang sedang dikumpul:
"Pada Suatu Ketika di Ujong Madini"
http://pskdum.blogspot.com/

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed