Entry: Debaran Bakal Menjadi Seorang Bapa Thursday, May 04, 2006



04/05/2006

 

Saya tahu bahawa Isteri saya mungkin hamil apabila saya sedar masa sepatutnya dia datang haidh, dia tetap setia sembahyang fardhu berjemaah dan bertadarus Al-Quran bersama saya berterusan tanpa henti pada setiap malam. Selalunya dalam sebulan bulan Islam, dia mesti terlepas sekali membaca Surah Yasin pada setiap malam Jumaat. Namun, pada ketika itu saya berasa hairan kerana telah 6 atau 7 minggu kami membaca Surah Yasin bersama-sama. Isteri saya ni tak datang-datang haidh ke?

 

Kemudian Isteri saya mengambil inisiatif sendiri membuat pemeriksaan kehamilan menggunakan kit kesan hamil. Dia menunjukkan keputusannya kepada saya pada suatu pagi sebelum kami sama-sama pergi kerja. Keputusannya positif – ada dua jalur yang timbul di atas kit itu. Seminggu kemudian, dia menjalani pemeriksaan dengan doktor perbidanan di Hospital Putrajaya. Doktor sahkan bahawa dia telah hamil 8 minggu dan bayi yang dikandung dijangka lahir pada awal Disember hujung tahun ini.

 

Saya tenang dan gembira apabila Isteri saya memberitahu keputusan doktor melalui sms,

 

“Alhamdulillah, Ita dah jumpa doktor, keputusan positif, dah 8 minggu, dijangka lahir 1 Disemebr tahun ni. Appointment gigi tunda lagi ke bulan 8 – Isteri, 12:59:36 PM, Apr 24, 2006”

 

“Syukur, alhamdulillah. Abang berdoa anak yang akan lahir akan jadi orang yang baik-baik yang akan doakan kita berdua. Tahniah Ita akan jadi IBU J - Saya, 01:28:31 PM, Apr 24, 2006”

 

“Terima kasih Abang. Ita pun doa macam tu juga. Mudah-mudahan akan lahir zuriat yang soleh dan solehah, sempurna sifat, bijak, berakhlak mulia. Tahniah juga untuk Abang yang akan jadi BAPA J - Isteri, 01:33:41 PM, Apr 24, 2006”

 

Sesungguhnya tidak ada yang lebih bernilai dalam dunia ini bagi seorang lelaki kecuali apabila dia boleh menghamilkan Isterinya. Isteri yang dinikahi secara sah melalui jalan agama, yang digauli penuh adab, yang dilayan seadanya yang layak sebagai seorang Isteri – akhirnya hamil daripada zuriat titisan darah sendiri tanpa ragu bercampur dengan zuriat titisan darah orang lain.

 

Pada malam itu apabila balik dari kerja, dan setelah kami selesai bertadarus Al-Quran seperti biasa, sementara menanti masuk waktu Isyak, saya bertafakur menghisab diri akan kemampuan dan keupayaan saya untuk menjadi seorang BAPA. Tiba-tiba saya mendapati bahawa darjat diri saya telah naik setakah lagi mencapai takah-takah kemuliaan di sisi Allah, daripada status seorang SUAMI, saya akan menjadi seorang BAPA. Saya berasa insaf mengenangkan kurniaan Allah yang tak ternilai itu.

 

Sebagai tanda mensyukuri kurniaan Allah, saya membuka kitab kecil “Majmu’ As-Syarif”dan membaca doa ‘Qunuzul Arays’ hingga selesai, lalu saya memanjatkan doa kepada Allah agar tidak memberatkan saya dengan tanggungan yang saya tak mampu tanggung atau menguji saya dengan kepayahan yang saya tak mampu bertabah dengannya, kerana saya percaya, menjadi seorang BAPA merupakan suatu pengembaraan yang jalannya amat sukar, terlalu rumit, cukup lama dan menuntut kegigihan luar biasa daripada seorang lelaki yang hanya merupakan seorang insan yang biasa di sisi Allah.

 

Kini saya simpati dengan Isteri saya kerana selalu berasa letih dan sering mengadu akan keletihannya kepada saya pada setiap malam. Saya melihat Isteri saya tidak muntah-muntah bila bangun awal pagi, cuma ketika memberus gigi, dia akan berasa loya tekak, tapi dia masih mampu bertahan agar tidak muntah. Saya juga melihat Isteri saya banyak membeli asam dan jeruk masam dan rajin mengunyahnya penuh selera. Di atas nasihat doktor, Isteri saya mengambil perskripsi asid folik yang dibekalkan oleh doktor dan meminum susu khusus untuk ibu hamil. Isteri saya dijadualkan untuk menjalani ujian terperinci kehamilan pada minggu hadapan. Dia beritahu saya yang dia berasa takut bila mengenangkan yang doktor akan mengambil sebanyak 5 ml darahnya untuk ujian. Saya memberitahu dia agar buat biasa saja sebab 5 ml tu bukannya banyak.

 

Saya berharap agar Allah mengurniakan kami anak yang sihat tubuh badan, sempurna sifat, waras fikiran – agar saya dan Isteri boleh mengasuhnya dengan ajaran mulia yang dibawa oleh Nabi Muhammad, agar dia kenal siapa Tuhannya, agar dia boleh bangkit menjadi salah seorang daripada pejuang-pejuang kebenaran, yang gigih berjuang mempertahankan kebenaran, dan tidak jemu-jemu menyeru orang ramai ke arah perkara-perkara yang maaruf.

 

Hidup Mulia, Mati Mulia.

 

Tiada sekian.

   1 comments

Nisah Haron
May 15, 2006   09:51 PM PDT
 
Salam Tahniah! Semoga cinta semakin bertaut...

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments