Entry: Setiap Hari Adalah Titik Permulaan Perubahan Thursday, August 24, 2006



24/08/2006.

 

Hari ini apabila bangun dari tidur, saya dapati usia saya bertambah lagi – genaplah umur saya 33 tahun 1 hari kerana semalam adalah hari kelahiran saya. Isteri saya turut menyambut hari kelahiran sama dengan saya kerana tarikh lahir kami berdua sama tetapi berlainan tahun.

 

Bagi kebanyakan orang, mereka menjadikan tarikh hari kelahiran atau setiap hari tahun baru sebagai titik permulaan perubahan (turning point). Ada yang memasang sasaran (target) untuk memulakan usaha atau tindakan mencapai cita-cita – nak cari pasangan hidup, nak kahwin, nak jadi kaya, nak mulakan bisnes, nak mulakan pelaburan, nak habiskan bayar hutang – macam-macam lagi keinginan.

 

Bagi saya, titik permulaan perubahan adalah pada setiap hari apabila saya bangkit dari tidur. Sebelum tidur, saya menghisab diri segala pencapaian saya sepanjang sesuatu hari. Setelah menghisab diri, saya merancang sasaran yang ingin dicapai pada hari esok. Saya membayangkan langkah-langkah yang saya harus saya buat untuk mencapai sasaran tersebut dan menutup mata untuk tidur.

 

Bila celik mata dan bangun dari tidur, tenaga keupayaan yang saya simpan semenjak dari awal tidur lagi, saya ubah menjadi tenaga kinetik dengan cara melaksanakan langkah-langkah yang telah saya bayangkan sebelum tidur. Kerap kali sisa-sisa kantuk asyik menarik tubuh saya supaya kembali tidur untuk kembali melayan mimpi semalam. Namun, saya tidak peduli dan badan saya serta-merta bangkit memulakan tindakan-tindakan yang telah pun saya rancang semalam. Saya membiarkan pemikiran sub-sedar memimpin aksi-aksi saya pada setiap hari baru sehingga tanpa saya sedar, saya telah menggenggam satu demi satu sasaran demi sasaran yang hendak saya capai.

 

Saat ini pada suatu ketika dahulu saya tak pernah sangka yang saya akan:

 

  1. belajar bidang sains sehingga tamat universiti (peringkat sarjana muda),
  2. memasuki dunia ketenteraan walaupun sekilas melalui PALAPES Tentera Laut sehingga ditauliahkan watikah Leftenan Muda (saya ingin maju lagi ke pangkat tauliah seterusnya),
  3. khatam belajar silat genap sukatan pelajaran sehingga mendapat buah keputusan guru (semua perguruan persilatan yang ikhlas akan mengajar pesilat-pesilat sehingga mampu menguasai buah keputusan guru),
  4. ada pekerjaan untuk menyara hidup (sudah tentu tiada orang yang akan kekal karier mereka dengan satu majikan sahaja),
  5. pernah menerima hadiah penghargaan kerana menulis karya sastera (saya tak pernah rancang untuk dapat hadiah apabila hantar karya sastera kepada suratkhabar atau majalah, dan sekarang sedang mengusahakan sendiri secara diam-diam cerpen-cerpen baru dan 1, 2 novel),
  6. berkahwin, mempunyai seorang isteri (syukurnya saya kepada Allah sebab kembara cinta saya tidak bersulam dengan pengalaman-pengalaman manis musim bunga sebaliknya saya hanya merasai jadam-jadam pengalaman yang menjadi penguat peribadi diri saya – iaitu menjadi seorang yang tabah tidak terbatas),
  7. ada anak, isteri saya sedang hamil anak kami yang sulung (gembiranya saya sebab akan jadi seorang bapa, saya berasa kasihan melihat isteri yang kini semakin sukar membawa kandungan kami),

 

Semakin usia merangkak lanjut, saya tak boleh abaikan punca inspirasi saya yang membolehkan saya mencapai semua yang di atas – Ibu dan Bapa saya. Mereka telah mencurahkan jasa yang terlalu banyak yang membolehkan saya menjadi seorang saya pada hari ini. Saya tak boleh balas balik jasa yang setimpal dengan jasa yang mereka telah curahkan kepada saya.

 

Namun, saya tetap akan berbuat ihsan kepada mereka dengan menunaikan hak-hak mereka sedaya-upaya saya. Sebesar-besar jasa yang mampu saya berikan kepada mereka, ialah mendoakan mereka supaya Allah mengampunkan segala dosa-dosa mereka dan menerima mereka di dalam golongan Al-Muqarrabin (iaitu golongan orang-orang yang akrab dengan Allah) pada hari kiamat nanti.

 

Hidup Mulia, Mati Mulia.

 

Tiada sekian.

 

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments